Senin, 31 Juli 2017

Awas! Hepatitis C Menyerang 380,000 Rakyat Malaysia

Awas! Hepatitis C Menyerang 380,000 Rakyat Malaysia

Virus hepatitis B, C dan D boleh menyebabkan jangkitan kronik seperti sirosis hati dan barah hati. (Gambar: oncologynews.com.au)

Kira-kira 325 juta manusia di seluruh dunia dijangkiti virus hepatitis pada tahun 2015. Seramai 257 juta manusia dijangkiti hepatitis B dan 71 juta lagi hepatitis C. 

Virus hepatitis dilaporkan telah menyebabkan kematian seramai 1.34 juta manusia pada tahun berkenaan. Sebenarnya, terdapat lima jenis virus hepatitis iaitu A, B, C, D dan E. Virus hepatitis A dan E disebarkan melalui makanan dan air yang tercemar daripada najis pesakit hepatitis A dan E. 

Jangkitannya adalah akut tetapi selalunya pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi. Virus hepatitis B, C dan D pula boleh menyebabkan jangkitan kronik seperti sirosis hati dan barah hati. 

Virus itu disebarkan melalui darah yang tercemar dengan virus ini sama ada secara terus seperti melalui peralatan yang tercemar seperti berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah atau organ tercemar. Hepatitis B juga boleh menjangkiti bayi yang baru lahir sekiranya ibunya positif virus ini.

Paling membimbangkan, jangkitan hepatitis ke atas seseorang tidak diketahui sehingga individu terbabit menjalani ujian saringan atau penghidapnya mendapat gejala serta tanda dan diuji positif hepatitis. 

SITUASI HEPATITIS C DI MALAYSIA 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam menyatakan dianggarkan kira-kira 380,000 rakyat negara ini dijangkiti dengan hepatitis C. Jangkitan hepatitis C sebenarnya mampu diubati dengan anti viral baharu tetapi memakan masa penyembuhan antara tiga sehingga enam bulan. 

Bagiamanapun, beliau menyatakan pada tahun 2015, statistik menunjukkan hanya tujuh peratus mereka yang mengalami hepatitis C mendapatkan rawatan itu. Situasi itu berlaku memandangkan rawatan untuk hepatitis C sangat mahal. 

CARI KAEDAH RAWATAN BERPATUTAN

Justeru, Dr Noor Hisham menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha menyediakan rawatan yang berpatutan untuk orang ramai yang mengalami hepatitis C. Usaha itu dijangka membuahkan hasil dalam tempoh terdekat dan berharap ia dapat menghasilkan rawatan yang sederhana dan berpatutan. 

Selain itu, KKM sedang merangka pelan strategik nasional untuk kawalan dan penghapusan hepatitis virus. Bagaimanapun, orang ramai perlu membantu dengan memainkan peranan untuk menjayakan hasrat tersebut. 

"Sekiranya anda mempunyai risiko jangkitan, sila lakukan ujian darah atau jika anda tahu seorang rakan yang mungkin mengalami jangkitan itu, beritahu kepadanya supaya melakukan perkara sama. 

"Sekiranya anda dijangkiti virus hepatitis, sila dapatkan doktor untuk penilaian. Jika rawatan telah ditetapkan, sila lakukan dengan betul," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar