Senin, 31 Juli 2017

Tempoh Operasi PI1M Disaran Dilanjut Hingga Malam

IPOH – Tempoh operasi Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) di seluruh negara disaran agar dilanjutkan bagi membolehkan penduduk terutama di luar bandar menggunakan perkhidmatan itu selepas waktu bekerja.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Mohid Mohammed berkata ketika ini PI1M beroperasi daripada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

”Bagaimana kalau kemudahan ini boleh diberi pada waktu malam juga supaya bagi mereka yang bekerja boleh menggunakan kemudahan pada waktu malam selepas waktu pejabat.

“Dari segi silibus, kita juga boleh beri penambahbaikan dan saya minta kerjasama pihak Telekom Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya dapat membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita semasa melawat PI1M Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan penambahbaikan itu diharap dapat dilaksanakan di semua PI1M seluruh negara.

Dalam lawatan tersebut, Mohid turut mendengar taklimat mengenai PI1M Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 selain meluangkan masa melihat pelbagai perkhidmatan lain yang ditawarkan di pusat berkenaan di samping beramah mesra dengan pengguna.

PI1M Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 beroperasi sejak tahun 2007 dan telah membantu melahirkan beberapa usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka melalui latihan keusahawanan secara percuma.

Sehingga Mei 2017, terdapat 600 buah PI1M di seluruh negara dan kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 800 PI1M menjelang 2020 bagi faedah rakyat secara lebih meluas terutama penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

Selain dilengkapi perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan capaian Internet jalur lebar, PI1M juga menawarkan peluang latihan berkaitan ICT. – BERNAMA

Loading...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar