Beliau berkata perkara itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Iskandar Malaysia (JMCIM) Malaysia-Singapura kali ke-13 yang diadakan di sini pada Isnin.
"Menerusi mesyuarat hari ini ada beberapa isu teknikal mengenai RTS dapat diputuskan dan ada yang perlu perbincangan lanjut demi kepentingan bersama kedua-dua negara.
"Isu teknikal yang dapat diputuskan kedua-dua negara antaranya pembahagian pembayaran konsesi RTS iaitu 39 peratus bagi Malaysia dan 61 peratus bagi Singapura untuk tempoh 50 tahun," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat terbabit.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura Lawrence Wong.Abdul Rahman berkata Malaysia turut meminta kadar itu dijadikan 50 peratus untuk Malaysia dan 50 peratus Singapura selepas tempoh 50 tahun berakhir, namun perkara itu belum diputuskan kerana Singapura perlu membuat perbincangan lanjut di pihak mereka.
Beliau berkata Singapura akan menerima 61 peratus hasil bayaran tambang yang akan dikenakan kerana republik itu perlu mengeluarkan kos yang lebih tinggi dalam pembinaan RTS termasuk perlu membina stesen bawah tanah.
"Kita meminta pembahagian pembayaran sebanyak 50-50 selepas kos pembayaran konsesi dibayar sepenuhnya. Tempoh 50 tahun itu satu jangka masa yang lama kerana kita mahu pastikan tambang adalah rendah dan rakyat dapat menggunakan perkhidmatan tersebut sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata Malaysia turut meminta untuk menjadi pemegang dominan bagi syarikat operator (OpCo) RTS yang bakal diwujudkan secara usaha sama antara kedua negara yang berfungsi sebagai pengendali reka bentuk, kerja pembinaan, kewangan, operasi, penyelenggaraan dan pembaharuan hal berkaitan RTS.
"Perkara berhubung pembahagian peratusan bagi OpCo iaitu Malaysia dan Singapura masing-masing 50 peratus turut dibincangkan namun Malaysia mahu menjadi pemegang dominan kerana adalah lebih praktikal kalau ada satu pihak yang lebih dominan terutama dalam membuat keputusan, sekali gus syarikat dapat berfungsi dengan baik dan Singapura faham dengan keadaan itu," katanya menambah isu itu juga akan diputuskan kelak menerusi perjanjian bilateral.
Menurut Abdul Rahman aspek keselamatan pejalan kaki di Tambak Johor dan penambahan kekerapan tren ulang-alik KTMB sebanyak 36 kali sehari yang dipersetujui Singapura selepas proses memperbesarkan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) di Woodlands, Singapura dilakukan turut dibincangkan hari ini.
"Kita buat persetujuan untuk melakukan kajian bagaimana kita dapat pastikan keselamatan pejalan kaki di Tambak Johor pada masa akan datang. Perkhidmatan feri bagi menghubungkan dua negara turut dibincangkan supaya lebih sistematik," katanya.
-- BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar