Senin, 31 Juli 2017

Audit: Berlaku kelemahan dalam program pendidikan Ulul Albab

KUALA LUMPUR: Terdapat kelemahan dalam Program Pendidikan Ulul Albab (PPUA) bagi pelajar-pelajar di tujuh buah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) di negeri ini menyebabkan matlamat utama dalam melahirkan generasi Ulul Albab yang bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik tidak tercapai.

Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang di Parlimen pada Isnin mendapati tempoh tahun 2010 hingga 2015 mengesan kelemahan pada pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi peperiksaan SPM, sasaran menghafaz sekurang-kurangnya 20 juzuk Al-Quran sehingga tamat Tingkatan 3 tidak tercapai bagi program Quranik dan nisbah pembahagian antara guru dan pelajar yang ditetapkan bagi halaqah khatam hafazan tidak dipatuhi.

Laporan itu mendapati punca pencapaian GPS SPM tidak menepati sasaran adalah disebabkan penetapan GPS yang tinggi iaitu 1.2, kekurangan guru pakar, guru tidak didedahkan sebagai pemeriksa kertas peperiksaan SPM (sehingga tahun 2014) dan kurang penyelarasan program akademik secara berpusat antara tahun 2011 hingga 2013.

Pencapaian sasaran semua pelajar boleh menghafaz sekurang-kurangnya 20 juzuk Al-Quran semasa Tingkatan 3 adalah juga kurang memuaskan kerana hanya 46.1% pelajar berjaya menghafaz sekurang kurangnya 20 juzuk Al-Quran sehingga tahun 2015.

Laporan itu juga mendapati kadar nisbah halaqah pelajar yang khatam hafazan adalah kurang memuaskan kerana tidak mematuhi kadar nisbah 1:5 (guru dan pelajar) yang ditetapkan dalam garis panduan.

Sehubungan itu laporan itu mengsyorkan mengkali semula Pelan Perancangan Strategik SMIYT dan menilai pencapaiannya secara berkala setiap tahun dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk perbincangan bersama pihak terlibat agar sasaran lebih realistik dan mampu dicapai dengan mengambil kira keupayaan dan kemampuan pelajar dan guru.

Laporan itu turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar pengurusan PPUA diletakkan secara langsung di bawah satu jawatankuasa khas di peringkat Kerajaan Negeri agar segala keperluan dan permasalahan yang dihadapi terutamanya kekurangan guru hafazan dan guru pakar dapat ditangani dengan segera bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan program ini.

Ia turut mengesyorkan agar mendapatkan khidmat bekas pelajar SMIYT melalui Alumni SMIYT bagi menangani masalah kekurangan guru hafazan berkelayakan.

Selain itu melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan melibatkan aspek penetapan sasaran GPS bagi peperiksaan SPM, minimum hafazan 20 juzuk Al-Quran bagi semua pelajar Tingkatan 3 dan pemakaian nisbah 1:5 bagi halaqah khatam hafazan.

Laporan itu turut mengsyor pemantauan terhadap pelaksanaan dan pencapaian PPUA wajar dibuat secara berterusan bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri melahirkan generasi pemimpin negara berketrampilan Ulul Albab yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dapat dicapai dalam tempoh yang dirancang.

-- BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar