LONDON – Seorang militan warga Malaysia, Dr. Mahmud Ahmad disebut-sebut sebagai pakar senjata dan amat dipercayai dalam hierarki terbaharu kumpulan pengganas Daesh.
Malah, dia turut dianggap sebagai ‘bendahari’ kerana peranannya sebagai orang tengah untuk mendapatkan wang dana bagi membiayai aktiviti kumpulan militan itu, menurut laporan pelbagai media antarabangsa.
Difahamkan sejak 2014, bekas pensyarah Universiti Malaya itu berjaya menerima sumbangan lebih RM500,000 daripada anggota Daesh dan individu yang bersimpati dengan kumpulan tersebut dari seluruh dunia.
Sumber risikan berkata, kutipan dana itu kemudian disalurkan kepada Dr. Mahmud melalui khidmat kiriman kurier dan kaedah ‘dead drops‘ sejak dia melarikan diri ke wilayah selatan Filipina, lebih tiga tahun lalu.
“Perkhidmatan kiriman pantas, kebanyakan dari Malaysia dan Indonesia lazimnya akan diterbangkan terus ke Tawau, Sabah sebelum menggunakan pula laluan pelayaran haram untuk ke Mindanao.
“Di sana, mereka akan meninggalkan beg berisi wang tunai di kawasan ditetapkan untuk diambil oleh militan lain yang akan menyerahkannya kepada Dr. Mahmud,” kata sumber itu kepada akhbar The Star.
Arahan pemindahan wang akan dihantar melalui aplikasi Telegram yang penggunaannya diharamkan di Indonesia. Modus operandi itu juga digunakan untuk halang penahanan Dr. Mahmud oleh pihak berkuasa.
Baca: Dr. Mahmud Ahmad – Militan Daesh Paling Dikehendaki
Ketika dihubungi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan Dr. Mahmud menggunakan khidmat pengiriman tersebut.
“Suspek menerima dana dan wang tunai yang disalurkan ke Mindanao sejak 2010. Kami turut mendapati dia menggunakan perkhidmatan pemindahan kawat antarabangsa untuk mendapatkan dana,” katanya.
Ayob Khan berkata, pasukannya mengambil langkah proaktif dengan menahan mereka yang bertanggungjawab dalam penyaluran dana kepada rangkaian Daesh sama ada di Syria dan Filipina.
“Kami telah menahan 19 suspek atas kesalahan membiayai kumpulan pengganas. Kira-kira 16 individu didakwa di mahkamah dan tiga lagi ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Tiga daripada mereka menyalurkan lebih RM200,000 kepada Dr. Mahmud,” kata Ayob Khas yang ditukil mStar Online. Risikan terbaharu menunjukkan suspek juga berhubungan dengan militan Indonesia di Syria.
“Ia mengenai pemindahan dana ke selatan Filipina. Kami mendapati kenalan warga Indonesia yang dihubungi Dr. Mahmud memberitahu militan lain di Indonesia untuk membuka akaun bank baharu di sana.
“Dana seterusnya akan dimasukkan ke dalam akaun ini yang akan disalurkan kepada militan lain apabila menyertai kumpulan itu di selatan Filipina,” katanya lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar