Senin, 31 Juli 2017

Sekolah Perlu Pantau Kakitangan Elak Insiden Luar Jangka

IPOH – Pihak sekolah perlu membuat pemantauan rapi terhadap semua kakitangannya termasuk guru dan jurulatih separuh masa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata walaupun pihak pentadbiran sekolah membuat semakan rapi, namun kadangkala ia bukan jaminan kepada tiada kejadian tidak wajar daripada berlaku.

“Walaupun kita memeriksa latar belakang mereka  dan dapati rekod mereka bersih, perkara di luar jangka mungkin berlaku jika kita tidak membuat pemantauan rapi di sekolah, jadi adalah penting pihak pentadbiran sekolah sentiasa membuat pemeriksaan.

“Kami juga mengeluarkan arahan kepada semua sekolah agar mengawasi tingkah laku pelajar juga. Sebab itu kita ada penilaian psikometrik untuk uji psikologi pelajar sepanjang tahun itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas SMJK 2016 Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kementerian Pendidikan membuat semakan latar belakang yang lebih mendalam untuk pengambilan guru dan jurulatih separuh masa.

Ia susulan insiden seorang jurulatih kecergasan sambilan sebuah sekolah di sini yang dilaporkan mencabul dan meliwat beberapa pelajar difahamkan sejak Mei lalu sebelum mayat suspek ditemukan dalam sebuah bilik hotel, minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Chong berkata pihak kementerian telah melakukan pelbagai langkah untuk membendung gelaja buli dalam kalangan pelajar sekolah termasuk mewujudkan jawatankuasa pemuafakatan melibatkan sekolah, ibu bapa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain sistem pelaporan dalam talian.

“Kita perlukan pendekatan secara holistik daripada semua pihak, kita tidak boleh hanya mengharapkan pihak sekolah sahaja yang menyelesaikannya,” katanya sebagai mengulas insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar perempuan di Kunak, Sabah yang tular hari ini.  – BERNAMA

Loading...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar