Ramai wanita pada masa kini memiliki kerjaya mereka sendiri, dan secara tidak langsung ada pendapatan sendiri.
Begitu juga dengan isteri atau ibu kepada anak-anak yang mana bekerja juga, walaupun pada asasnya suami mampu untuk menanggung kehidupan bersama.
Tetapi, kenapa perlunya wanita untuk bekerja, jika semuanya sudah cukup?
Menerusi perkongsian dari Faizul Ridzuan ini, jawapan yang diberikan akan isu ini, sedikit sebanyak boleh dijadikan iktibar akan mengapa perempuan perlu juga mempunyai kerjaya mereka sendiri.
Mari kita ikuti perkongsian darinya.
FR. Kenapa Isteri Kamu Masih Kena Kerja?Salam semua, saya sering kali ditanya kenapa isteri saya masih kena kerja walaupun kami boleh menjalani gaya hidup sebagai orang kelas pertengahan, kalau ikutkan gaji saya bersendirian.
Baru-baru ini, kes-artis-pukul-bini-dalam-pantang-sebab-nak-karaoke-dgn-gf, secara tak langsung buatkan ramai marah dan buatkan pemikiran saya mengenai kenapa isteri harus ada kerjaya walaupun selepas berkahwin.
Bagi saya, keputusan ini berdasarkan dari pengalaman peribadi keluarga. Ayah saya, seorang yang berpendirian tradisional, dan tak nak mak bekerja, hanya jaga anak-anak sahaja.
Pada waktu itu, dia bertugas sebagai ‘boilerman’ di salah sebuah hotel KL dan bisnes sampingan kereta terpakai.
Mak saya bekerja dengan kerajaan untuk ROC pada waktu itu, dan inginkan ada pendapatan sendiri. Selepas beberapa tahun berbincang, mak bersetuju dan bersara lebih awal.
Kemudian, pada tahun 97-98 berlaku krisis kewangan Asia. Ayah kehilangan kerja di hotel dan perniagaan kereta terpakai merudum. Kesemua duit simpanan habis dan keluarga kami tiada sumber pendapatan, sebab ayah tiada kerja dan mak bersara awal, 1-2 tahun sebelum itu.
18-24 bulan mendatang adalah saat yang sukar untuk keluarga kami, kerana tiada pendapatan dan terpaksa berjimat. Kebanyakan masa, kami makan nasi dan telur sahaja.
Jadi, bila dah berhadapan dengan situasi itu, bila mana mula bercinta, saya katakan kepada bekas kekasih yang saya inginkan dia bekerja dan tidak menjadi surirumah sepenuh masa, walaupun kami mampu.
Jika ada apa-apa berlaku, keluarga saya tidak akan terputus sumber pendapatan. Dan hari ini, isteri saya masih bekerja dan jika ada apa-apa terjadi kepada saya, dua orang puteri saya tidak akan mengalami nasib yang sama dengan saya dahulu.
Adakah ini yang terbaik untuk keluarga? Saya tak tahu. Tapi ini apa yang saya tahu:
1. Ada perkahwinan yang tak bertahan lama. Pasangan yang dahulunya terpaksa korbankan kerjaya, perlu mencari kerja semula, dan kerana dah lama tak bekerja, perlu bermula dari bawah semula.
2. Pencari nafkah yang utama, boleh kehilangan kerja
3. Pencari nafkah keluarga boleh terlibat dalam kemalangan, meninggal, atau menjadi cacat.
4. Perniagaan mungkin berkembang maju 1-2 tahun, dan mungkin tidak menguntungkan sepenuhnya untuk tahun mendatang. Jika tiada simpanan yang mencukupi, seluruh keluarga akan menderita.
5. Paling teruk, pasangan akan mula mencari yang lain dan tidak mengendahkan pasangannya.
Ya, isteri saya bekerja. Dia ada kerjayanya yang sendiri. Buat yang terbaik setiap hari, kerana tiada yang pasti alam dunia ini. Dia bekerja supaya nanti anak-anak ada masa depan yang terjamin. Bagi saya, itu juga salah satu tanda kasih sayang, walaupun masa yang diluangkan bersama berkurang.Jika suami meminta anda untuk bekerja, tidak bermaksud dia mahukan duit anda. Ia mungkin dia risau akan apa yang akan berlaku kepada keluarga nanti, jika sesuatu berlaku kepadanya.
Dan jika isteri mahu bekerja, tidak bermaksud dia tidak mahu menjadi isteri dan ibu yang baik. Dia cuma mahu pastikan dirinya baik, jika apa-apa terjadi apad suami.
Cinta/kasih sayang juga berkait dengan tanggungjawab, bukan?
- Siakap Keli
BACA: 'Bila Suami Dapat Gaji, Benda Paling Best Adalah Pergi Supermarket Beli Barang Dapur... ' - 'Isi Hati' Suri Rumah Sepenuh Masa Perlu Setiap Suami Tahu
Tidak ada komentar:
Posting Komentar