Senin, 31 Juli 2017

Susah Sangat Ke Nak Dapat Gaji Minimum RM1,500?

Susah Sangat Ke Nak Dapat Gaji Minimum RM1,500?

Meskipun Dasar Gaji Minimum Kebangsaan mula dilaksanakan pada tahun 2013, ia masih belum cukup untuk menampung kos sara hidup pekerja tempatan di negara ini. (Gambar: najibrazak.com)

Dasar Gaji Minimum Kebangsaan mula dilaksanakan pada tahun 2013. Sebelum itu kadar gaji di Malaysia secara umumnya ditentukan berdasarkan penawaran majikan kepada bakal pekerja. Pelaksanaan dasar gaji minimum ternyata satu khabar gembira buat golongan pekerja di negara ini. 

Gaji minimum ketika itu terpakai untuk gaji pokok sahaja dengan kadar bulanan ditetapkan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Pada 2016, kadar gaji minimum bulanan dan jam dinaikkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia manakala RM920 atau RM4.42 sejam untuk Sabah, Sarawak dan Labuan. 

Kerajaan berharap penetapkan kadar gaji minimum baharu itu dapat melonjakkan pendapatan pekerja sekaligus membantu meningkatkan ekonomi Malaysia dalam mencapai hasrat mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

MAJIKAN INGKAR

Statistik yang dibentangkan dalam sidang Parlimen baru-baru ini bagaimanapun mendapati masih ada syarikat yang mengelak daripada membayar gaji minima ke atas pekerja. 

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa dari tempoh Januari 2014 sehingga Mei 2017, sebanyak 419 fail pendakwaan dibuka dan 71 peratus daripada kes berkenaan diselesaikan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM633,700. 

"Saya mahu tanyakan sama ada kerajaan bercadang mengenakan denda yang lebih berat terhadap majikan yang ingkar dengan arahan kadar gaji minima," katanya.

GAJI MINIMUM MASIH BELUM CUKUP? 

Nurul Izzah seterusnya mendakwa kadar gaji minima di Malaysia masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup golongan yang menerima manfaat mekanisme gaji minimum itu terutama golongan B40.

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40 terendah (B40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00. Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK). 

Dakwa Ahli Parlimen itu, hasil kajian yang dijalankan Institut Kajian Khazanah mendapati isi rumah yang berpendapatan RM2,000 membelanjakan hampir RM403 sebulan untuk menanggung kos makanan.

CADANG GAJI MINIMUM RM1,500

Justeru, Nurul Izzah bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 kerana keuntungan korporat didakwa meningkat. 

MTUC pada 30 April lalu meminta supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 manakala bayaran khas Cola RM300 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja dalam kategori pendapatan B40. 

“Ini akan membantu mengatasi masalah kos hidup yang semakin meningkat," kata Setiausaha Agung MTUC, J.Solomon dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2017 pada 30 April lalu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar