Senin, 31 Juli 2017

Pusat Pemantauan Berpusat KL Sentral Cadang Diwujudkan

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat pemantauan berpusat untuk memantau operasi KL Sentral, dicadang diwujudkan, antara lain bagi meningkatkan keselamatan hab pengangkutan awam utama negara itu secara menyeluruh, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim untuk mengemukakan kertas cadangan berkenaan kepadanya untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya telah minta Ketua Setiausaha KDN yang juga pengerusi Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting untuk kemukakan kertas cadangan hasil mesyuarat yang mereka akan lakukan, dalam tempoh sebulan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke stesen berkenaan serta mencuba perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Muzium Negara ke Stesen Merdeka, hari ini.

Lawatan selama kira-kira dua jam 30 minit itu turut disertai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Urusan MRCB Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah mewujudkan pusat berkenaan adalah langkah jangka masa panjang bagi meningkatkan aspek keselamatan lokasi-lokasi sasaran penting seperti KL Sentral yang diisytihar sebagai kawasan sasaran penting keutamaan secara menyeluruh.

“Dalam hal ini kami telah setuju untuk sarankan agar terdapat sistem pemantauan berpusat untuk melakukan penyelarasan kepada sistem sedia ada agar ia disambungkan terus kepada Polis Diraja Malaysia,

“Ini supaya pemantauan dapat dilakukan secara berpusat dan tindakan boleh diambil pihak polis secara terus, maka ia tidak perlu melalui beberapa peringkat komunikasi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan turut berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peruntukan bagi membiayai kos pusat berkenaan.

“Ini untuk melihat sama ada ia perlukan peruntukan terus dari perbendaharaan, atau ada kerjasama dengan pihak swasta atau Badan Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.

Ahmad Zahid berkata untuk langkah jangka masa pendek bagi meningkatkan aspek keselamatan hab pengangkutan awam yang dikunjungi hampir 200,000 orang setiap hari itu, beliau turut mengarahkan supaya jumlah anggota polis bantuan ditambah.

Loading...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar