KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pembangunan semula Kampung Baru mengekalkan ‘roh’ keislaman dan kemelayuan kampung itu yang wujud sejak 113 tahun lepas.
Beliau berkata sejajar dengan perubahan masa, kampung itu tidak boleh lari daripada pembangunan, namun ia harus mengekalkan aspek sejarah dan identitinya yang tersendiri.
Katanya perubahan juga adalah gelombang yang harus dihadapi oleh semua pihak termasuk pihak pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu.
“Jika kita asyik bernostalgia dengan apa yang ada pada yang lama dan kita menepis apa yang baru maka tunggulah ia tidak lagi relevan, dalam keadaan itulah kita mahu melihat Kampung Baru harus dibangunkan dengan roh yang begitu.
Dulu ramai yang melakarkan bahawa Kampung Baru is Kuala Lumpur (KL), Kuala Lumpur is Kampung Baru ertinya bila orang mahu melihat wajah KL, orang lihat wajah Kampung Baru, dan Kampung Baru cukup identical dengan Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek Residensi Rah Kampung Baru, di sini hari ini.
Projek berkenaan yang dibangunkan di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur merangkumi 187 unit kondominium 39 tingkat dibangunkan Rah Properties Corporation Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.
Projek yang bermula pada Mei lalu itu dijangka siap pada Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembangunan RM145 juta termasuk kos pengambilan tanah RM25 juta.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ahmad Zahid turut berharap semua pihak termasuk penduduk Kampung Baru akan dapat memberi sokongan kepada pemaju pembangunan supaya kawasan itu dapat dimajukan setaraf dengan pembangunan di sekelilingnya.
“Saya merasakan sesuatu yang baik itu sukar untuk dilakukan kerana banyak kekangan dan halangan, biarpun perubahan-perubahan itu diniatkan untuk terbaik tetapi kebenaran itu selalu datang di akhir-akhir. Itulah dugaan,” katanya. – BERNAMA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar