AHLI perniagaan menerima lebih 7,000 mesej di aplikasi Whatsapp, lebih 400 panggilan telefon dan hampir 100 khidmat pesanan ringkas (SMS) memaki hamun, menghina dan mencabar untuk bergaduh. Semuanya kerana nombor telefonnya tertera pada status Twitter penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz yang dilanda kontroversi, tular sejak semalam.
Status ‘Jangan nak kecam sangat, siapa tak puas hati call saya’ itu membuatkan kehidupan Mohd Faris Mohd Ali, 30, terganggu.
"SAYA bukan Aliff Aziz, tolong berhenti hubungi nombor telefon saya. Saya mula terima gangguan pada 5 pagi semalam dan tak tahu apa-apa sehinggalah tunang saya beritahu yang nombor saya sudah disebarkan.
"Ada yang masukkan saya dalam kumpulan Whatsapp dan ada juga yang saya sudah jelaskan yang tertera dalam Twitter itu bukan nombor Aliff. Bagaimanapun, sehingga sekarang saya masih diganggu tanpa henti walaupun saya sudah kongsi di Facebook (FB) dan buat laporan polis," katanya ketika ditemui Harian Metro di Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Faris membuat laporan dibuat di Balai Polis Sepang semalam dan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari yang sama.
"Satu azab saya rasa sebab panggilan tak henti-henti sehingga menyukarkan saya untuk menjalankan perniagaan.
"Nombor itu memang saya khaskan untuk urusan perniagaan sejak saya gunakan dua minggu lalu," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.
Gangguan yang diterimanya tidak kira masa dan Mohd Faris mempertimbangkan untuk menamatkan talian berkenaan sekiranya gangguan ini masih berterusan.
"Kepada anda di luar sana, tolonglah berhenti ganggu saya. Kepada tukang sebar, tolong jangan menyusahkan orang lain.
"Sebab anda, saya yang terseksa. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang kongsikan nombor telefon saya di media sosial," katanya.
Sementara itu, dalam sidang media khas hari ini, Aliff berkata, dia tiada kena-mengena dengan penyebaran nombor telefon Mohd Faris.
“Saya akui itu akaun saya tetapi akaun itu sudah digodam oleh individu tidak bertanggungjawb. Saya tidak tahu mengenai Twit (status) itu.
“Saya hanya sedar bila dah tular dan keluar di Twitter. Akaun itu digodam oleh orang lain dan lagipun saya sudah lama tidak aktif di Twitter.
“Kenapalah sampai nak sebarkan nombor telefon orang lain. Jadi, kepada individu tidak bertanggungjawab itu, sila pulangkan akaun itu kepada saya,” katanya.
Aliff menerima kecaman selepas dia didakwa mengasari isterinya, Bella Astillah sehingga cedera di muka selepas menemuinya di sebuah pusat karaoke di Cheras bersama seorang artis wanita pada 27 Julai lalu.
Bagaimanapun, suami isteri itu sudah berdamai, malah tampil pada sidang media khas memberi penjelasan dan menjawab soalan wartawan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar