Hayfa Afrina Mohd Nasri meninggal dunia pada 3.40 petang selepas tiga hari dirawat di hospital berkenaan.
Bapanya Mohd Nasri Mohd Yusof, 26 berkata sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri, pengasuh memberitahu anaknya itu terjatuh ketika bermain.
"Pengasuh kata anak terjatuh pada petang Khamis ketika bermain dan ada kesan lebam di dahi kanan, tetapi saya tak tahu kena apa dan bila luka itu terjadi, " katannya ketika ditemui pemberita di bilik mayat hospital itu hari ini.
Menurut anggota Bomba dan Penyelamat Kulim itu, dia tidak membawa anaknya untuk pemeriksaan doktor memandangkan Hayfa Afrina tidak menunjukkan sebarang keganjilan dan kembali menghantarnya ke rumah pengasuh pada pagi Jumaat.Bagaimanapun katanya pada sebelah petang dia dimaklumkan oleh pengasuh yang berusia 20-an itu menerusi aplikasi WhatsApp yang Hayfa Afrina tidak sedarkan diri.
"Saya bergegas ke rumah pengasuh yang juga jiran kami sebelum melihat anak tunggal saya sudah tidak sedarkan diri dan membawanya ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun anak saya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada hari sama sebelum meninggal dunia pukul 3.40 petang semalam," katanya.
Dia berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Naya di Arau, Perlis petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian dan telah meminta pengasuh tersebut untuk hadir ke balai bagi memberi kenyataan. Ini bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian di atas kematian mangsa," katanya.
-- BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar