Meskipun kita miliki jumlah pendapatan gaji bersama sebanyak RM10 000 sekali pun, namun andai tidak diuruskan dengan betul boleh jadi kita sesak nafas ketika pertengahan bulan.
Minda sudah gelisah memikirkan mana nak cekau duit untuk memenuhi perbelanjaan rumah. Lumrah biasa yang terjadi adalah kita mula berhutang atau meminjam dengan bank, kawan-kawan dan keluarga apabila tidak cukup.
7 kesilapan menguruskan wang dalam rumah tangga mungkin kita sudah pun tahu. Namun tidak diambil peduli. Sebelum dapat menyelesaikan masalah kewangan, punca kekurangan wang mesti dikenalpasti terlebih dahulu.
#1 – Segan Untuk Ambil Tahu Berapakah Pendapatan Bersih Pasangan
Percaya atau tak, sesetengah orang mempunyai malu yang menebal untuk mengetahui berapakah gaji bersih pasangan kita. Terutama buat mereka yang baru saja berkahwin. Nak bertanya atau dedahkan gaji sebenar pun, entah kenapa diri terasa segan sangat. Jika dari awal tidak ambil tahu, maka akan datang masing-masing alami kesukaran untuk sediakan bajet dan simpanan bulanan yang sepatutnya buat keluarga.
#2 – Tidak Catat Berapa Perbelanjaan Keperluan Yang Sebenar
Pernahkah kita rasa dah lama bekerja, namun tak tahu mana duit gaji kita pergi? Malah, simpanan isi rumah pun boleh katakan hampir tiada. Aneh bukan? Hal inilah yang terjadi jika kita tidak menulis berapa banyak duit yang dikeluarkan dalam masa sebulan. Gaji yang kita peroleh tolak dulu dengan kos keperluan bersama. Sebagai contoh, sewa rumah, pinjaman kereta, kos minyak pergi balik kerja, bayaran tol, segala bil dan beri duit kepada mak ayah.
#3 – Belanja Melebihi Mampu
Kata orang, “alah. Dah penat-penat bekerja, apa salahnya belanja diri.” Ya, kenyataan ini benar namun kita harus belanja tidak ikut nafsu. Tiada masalah jika pasangan mahu reward diri. Namun pastikan belanja mengikut bajet sebanyak 10% dari jumlah pendapatan rumah.
#4 – Malas Belajar Ilmu Kewangan
Ini situasi biasa yang sering terjadi. Kita tahu setiap bulan kita alami kekurangan wang pada pertengahan bulan dan sering tertunggu supaya gaji seterusnya cepat masuk. Persoalannya sampai bila mahu jadi begitu? Lebih-lebih lagi bila memiliki keluarga besar. Bajet pun tinggi. Apa yang penting adalah ilmu bagaimana kita menguruskannya dan buatkan duit lebih banyak masuk ke dalam poket melalui pelaburan.
#5 – Lebihkan Kehendak Dari Keperluan
Bukan semua orang mampu menangguhkan kepuasan dalam membeli barang yang disukai. Biasanya apabila gaji membesar, kehendak juga seiring membesar. Misalnya, gaji suami bertambah mulalah si isteri mengusik fikiran nak tukar kereta baru atau barang-barang rumah baru. Walhal barang-barang tersebut masih elok dipakai.
#6 – Gagal Dalam Merancang Kewangan Bulanan
Nak tahu apa sebab duit kita tak pernah cukup walaupun sudah dicampur jumlah pendapatan suami isteri? Sebab kita gagal merancang! Pepatah ada menyatakan, “You fail to plan, you plan to fail.” Ambil sedikit masa bersama dan minta nasihat daripada orang tua bagaimana nak merancang kewangan seperti berapa jumlah simpanan yang patut ada atau bila waktu nak selesaikan hutang pinjaman.
#7 – Tidak Menyimpan 10% Setiap Bulan
Bayangkan kita simpan 10% daripada gaji rumah tangga setiap bulan, setahun saja sudah berapa. Cabaran yang dialami oleh kebanyakan orang masa kini, sukar nak bentuk tabiat menyimpan dan disiplin. Ada kalanya simpanan itu digunakan untuk memenuhi kehendak. Jadi lebih baik kita buat akaun simpanan tanpa kad debit (buat buku simpanan) yang menyebabkan kita sukar nak keluarkan wang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar