Selasa, 01 Agustus 2017

Dedah tabiat pengguna MRT: "Ini bukan aduan tetapi satu maklum balas" - Prasarana

SEJAK perkhidmatan pengangkutan Mass Rapid Transit (MRT) dilancarkan, kita melihat pelbagai gelagat pengguna MRT yang kadang-kala sungguh kurang sopan.

Ada yang memanjat tiang pemegang di dalam tren, ada yang makan di dalam tren walaupun dilarang, dan ada yang suka memenuhi tempat kosong dengan beg barangan mereka.

Bagi memberi kesedaran kepada pengguna dan juga mengubah tabiat mereka, RapidKL bertindak memuat naik beberapa keping gambar tingkah laku kurang sopan pengguna dengan kapsyen yang menarik di laman Facebook mereka.

Pendekatan itu menerima pujian daripada netizen. 

Selain itu, RapidKL hari ini turut melancarkan satu nombor telefon khas (010 766 4472)  bagi pengguna tren untuk berkongsi pengalaman mereka menerusi gambar ketika menggunakan perkhidmatan LRT, MRT dan perkhidmatan monorel.

Imej dan maklum balas akan diuruskan oleh ahli pasukan komunikasi RapidKL.

Pasukan itu kemudian akan berkongsi imej dan maklum balas pengguna kepada ahli pasukan yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Ketua Komunikasi Kooprat Prasarana, Lim Jin Aun idea untuk mendedahkan tindakan vandalisme segelintir pengguna di laman Facebook RapidKL datang dari pengendali akaun tersebut.

“Berikutan pendedahan beberapa media tentang tindakan vandalisme oleh pengguna pengangkutan awam yang baru itu, kami memikirkan cara untuk memberi kesedaran dengan cara yang lebih berkesan.

“Memandangkan pada ketika itu, kami terima banyak gambar daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan saya, jadi, kami memilih laman sosial untuk menyampaikan mesej kesedaran,” kata Lim apabila dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, Prasarana enggan mendedahkan identiti pengendali media sosial itu.

Apabila ditanya mengenai inisiatif pelancaran nombor telefon khas, Lim berkata ia adalah satu pendekatan untuk memudahkan pengguna berkongsi pengalaman mereka.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan perkhidmatan kami dan mendidik pengguna untuk menjaga aset awam yang berharga.

"Idea ini memang sudah difikirkan tapi kami rasa ini merupakan masa yang terbaik untuk melancarkannya.

“Kami tidak melancarkan nombor ini untuk menerima 'aduan', kami tidak merujuk ia sebagai ‘aduan’, tetapi sebagai maklum balas.

“Kami hargai apa jua maklum balas daripada pelanggan. Kalau kami terima maklum balas yang baik, kami akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kami, jika kami terima maklum malas yang tidak baik, kami akan ambil tindakan yang sewajarnya,” tambah Lim.

Ketua Komunikasi Koporat itu juga mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya mungkin tidak dapat membalas semua kiriman mesej yang diterima dengan segera namun mereka akan memantau setiap gambar atau video yang dihantar oleh pengguna.

Berikut antara pendedahan RapidKL yang menarik perhatian netizen. 


Tidak ada komentar:

Posting Komentar